MAC 2023

Kerajaan Pusat Setuju Pendekatan Sarawak Bangun Usahawan PKS


KUALA LUMPUR: Kerajaan Pusat bersetuju mengikut pendekatan disyorkan Sarawak bagi membangunkan usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pendekatan itu ialah pengwujudan jawatankuasa koordinasi bagi menyelaraskan agensi terlibat pembangunan usahawan PKS seperti di Sarawak.

"Ia telah dipersetujui supaya pendekatan ini diterima pakai di peringkat nasional juga,"katanya selepas mewakili Sarawak di Mesyuarat Majlis Pembangunan Usahawan dan PKS Kebangsaan yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Parlimen.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato Sri Fadillah Yusof.

Awang Tengah berkata, pendekatan kedua disyorkan Sarawak ialah mempunyai pangkalan data yang komprehensif berkaitan PKS.

"Memang agensi mempunyai data-data mereka sendiri, tapi kita memerlukan satu pangkalan data yang komprehensif yang menggabungkan semua agensi," katanya.

Katanya, ini termasuk dari segi pendaftaran syarikat yang penting bagi mengetahui program yang dapat dilaksanakan secara bersepadu dan tidak berlaku pertindihan.

"Kita juga menepati sasaran yang mana perlu dibantu, yang mana diberi keutamaan, malahan mesyuarat pun bersetuju di peringkat nasional kita harus mempunyai data ini,"tambahnya.

Sumber dari : Jiwa Bakti